Selamat Datang Ke Blog Lembah Tua

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن الرَّحِيْمِِ
Segala puji-pujian milik Allah subhanahu wa Ta'ala yang jua pentadbir sekelian alam.Allah subhanahu wa Ta'ala jualah yang memiliki panji kemuliaan dan ketinggian.Tiada yang seumpama-nya.Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala-galanya.Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw,penghulu semua Nabi,pembawa cahaya hidayah yang menerangi kegelapan jahiliyyah,kekufuran,kesesatan dan kemaksiatan,juga ke atas ahli keluarga dan para Sahabat Baginda radiyallahu 'anhum ajma'in serta yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari Kiamat.

Isnin, 4 April 2011

Adakah Al-Ma'tsurat BID'AH

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhan-Mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan setiap selesai mengerjakan solat.”

(Surah Qaaf: 39-40)

Dengan membaca zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasulullah ini bererti kita telah membentengi diri kita dengan senjata yang kukuh, sehingga terrhindar dari gangguan syaitan yang terkutuk.

Justeru, Al-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah membina jalan yang baik untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW. Beliau telah memilih dan menyusun Al-Ma’thurat dengan mengharapkan bimbingan daripada Allah SWT agar terhindar daripada gangguan syaitan yang penuh angkara murka. Maka alangkah baik setiap diri muslim mengamalkan zikir Al-Ma’thurat ini pada setiap pagi dan petang, siang mahupun malam.

Beramal ibadahlah sesuai dengan anjuran Islam seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Mukmin sejati akan mengisi ruang masanya dengan berbagai amalan yang dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Bibirnya sentiasa basah dalam berzikir, membesarkan dan mengagungkan yang Maha Pencipta. Kemudian sentiasa berdoa dalam mengharapkan keredhaan-Nya.

Insan beriman dikala pagi ia bertasbih dan berdoa, dikala petang tetap dengan kerendahan jiwanya dengan berzikir kepada Allah. Dikala malam hari, ia semakin menundukkan dirinya kepada Pencipta yang Maha Agung. Zikir Al-Ma'thurat merupakan zikir-zikir yang diamalkan Rasulullah SAW, terdapat beberapa keutamaan yang dijanjikan Allah SWT terhadap orang yang mengamalkanya.

Al-Ma’thurat dimulai dengan ucapan:

“Aku bermohon perlindungan Allah, Maha Mendengar, Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam.”

Mengandungi erti bahawa setiap jiwa kita sebelum melakukan aktiviti harus menyerahkan diri kepada-Nya. Ucapan itu juga menunjukkan betapa besarnya harapan seorang hamba kepada Allah, kemudian berusaha untuk terhindar dari sesuatu yang dapat menyesatkan jiwa seseorang dari mengingati Allah.

Dari Annas r.a. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Siapa yang mengucapkan di waktu pagi ucapan:


أعوذ بالله ٱلسميع ٱلعليم من ٱلشيطٰن ٱلرجيم

Maka ia dilindungi dari gangguan syaitan yang direjam hingga ke petang.”

Bacaan Al-Fatihah  dalam zikir Ma’thurat merupakan bacaan yang paling agung. Mengandungi pahala yang besar jika membaca dan menghayatinya. Rasulullah bersabda maksudnya:

“Demi Allah yang nyawaku di tangan-Nya belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah tujuh Mithani dan Quran yang agung yang diberikan kepadaku.”

Membaca surah Al-Baqarah dalam zikir Ma’thurat juga memperoleh pahala yang besar. Dari Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa membaca sepuluh ayat dari surah Al-Baqarah di awal siang nescaya ia tidak akan didekati oleh syaitan sampai petang, jika dibaca waktu malam nescaya syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi. Tidak akan dilihatnya apa-apa yang buruk menimpa keluarganya atau hartanya.”(Riwayat Al-Darani dan Baihaqi)

Membaca ayat kursi juga terhindar daripada gangguan syaitan. Dari Ibnu Mas’ud sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang membaca sepuluh ayat, ayat-ayat surah Al-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepasnya dan hujung surah Al-Baqarah nescaya syaitan tidak akan masuk dalam rumahnya sampai pagi.”(Riwayat Tabrani dan Hakim)

Begitulah semua bacaan dan zikir yang terkandung dalam zikir Ma’thurat terdapat beberapa keutamaan yang dijanjikan oleh Allah SWT terhadap utusan-Nya Nabi Muhammad SAW. Hanya insan yang mengetahui betapa besarnya  nilai doa dalam kehidupan jiwa yang ingin menghayatinya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga umat Islam semuanya mendapat  keredhaan Allah dalam mencari kebenaran di dunia ini.

Ambillah masa sekitar 5-10 minit selepas solat Subuh dan selepas solat Asar dengan membaca Al-Ma’thurat yang terdapat di masjid mahupun surau. Semoga susunan Al-Ma'thurat memudahkan bagi umat Islam mengamalkan zikir dan tasbih yang merupakan amalan Rasulullah SAW, insyaAllah.


http://www.kmtph.matrik.edu.my/index.php/sinar-taqwa/artikel/88-al-wazhifah-al-kubra

Tiada ulasan:

Catat Ulasan