Selamat Datang Ke Blog Lembah Tua

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن الرَّحِيْمِِ
Segala puji-pujian milik Allah subhanahu wa Ta'ala yang jua pentadbir sekelian alam.Allah subhanahu wa Ta'ala jualah yang memiliki panji kemuliaan dan ketinggian.Tiada yang seumpama-nya.Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala-galanya.Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw,penghulu semua Nabi,pembawa cahaya hidayah yang menerangi kegelapan jahiliyyah,kekufuran,kesesatan dan kemaksiatan,juga ke atas ahli keluarga dan para Sahabat Baginda radiyallahu 'anhum ajma'in serta yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari Kiamat.

Rabu, 15 April 2015

PERJALANAN MENUJU ALLAH

SUATU PERJALANAN
Suatu Perkongsian-Perjalanan Menuju Allah
ALAM MALAKUT
Rahsia segala rahsia
Fakir yang hina, haqir lagi jahil mula berbicara dengan Taufiq yang diberikan oleh Allah Taala.Bermula segala puji-pujian kesempurnaan itu hanya tertentu buat Allah ‘Azzawalla. Terpukau pandangan jiwa dengan keindahan HikmahNya, tercenggang Ruh menatap Keagungan Wajah Uluhiyyah dan RububiyyahNya, silau mata hati dengan pancaran Nur Makrifat yang menyelak tabir kebatilan membukakan rahsia-rahsiaNya yang terpendam. Dialah Rabbul Jalil Yang menyirami kegersangan jiwa hamba-hamba pilihanNya dengan hujan laduni yang membenihkan biji hikmah; lantas bercambah, berputik, yang seterusnya memaniskan buah yang masak ranum untuk disantap sebagai penyataan kurniaNya Yang melenyapkan segala asma dan rusum untuk memerikannya. Dan berkat selawat dan salam buat junjungan besar Sayyidil Mursalin, Nabi Muhammad SAW; dan ahli keluarganya, sahabat-sahabat dan para siddiqin serta sholihin serta para guru yang arif; semoga kaki yang mengatur langkah ini berada pada jalan-jalan baginda dan mereka yang dibimbing ke arah “jalan yang lurus”.Ketahuilah olehmu wahai saudaraku, perkataan orang-orang Arif bukanlah seperti makluman isu pembaca-pembaca berita, atau catatan para wartawan pada media cetak, malah kalam-kalam mereka adalah pancaran isyarat-isyarat di alam sana yang di sebut juga sebagai Alam Ghaib atau Alam Tinggi.
Pancaran ini pula melekat atau tertancap kepada hati mereka yang telah hidup “Sir” nya. Dengan itu, apa-apa yang diucapkan adalah merupakan sesuatu yang tinggi lagi mulia. Ketinggian dan mulianya sesuatu pengucapan itu sebenarnya diukur atau dinilai berdasarkan kehalusan maknanya yang tersirat serta “dalam maksudnya” yang berlapis-lapis tersembunyi di samping bertebaran idea-ideanya yang berpaksikan Ketauhidan.
AlLah berfirman di dalam Hadis Qudsi:“Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana•
alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;•
alam Malakut, syaitan bagi orang Arif;•
alam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah”.
Saudara telah bertanyakan tentang kekaburan dan makna-makna yang tersirat di sebalik Firman Allah di atas sebagaimana yang terdapat dalam bicara yang berkaitan dengan “Hal Rahsia Diri”. Bukannya satu pekerjaan yang mudah untuk mencungkil sesuatu yang terpendam “di dasar yang dalam” kerana pekerjaan ini adalah pekerjaan orang-orang ahli dalam menyelam dan tahu selok belok lautan tempat di mana tersimpannya mutiara-mutiara bernilai.
Selebihnya pekerjaan ini hanyalah untuk mereka yang “ahli” dengannya. Untuk mencapai kesempurnaannya pula, tidaklah cukup dengan sekadar ilmu pengetahuan semata-mata; kerana ia merupakan sesuatu yang hanya dapat dicapai dengan “zauk” dan “wujdan” di mana segala asma dan rusum(isyarat) tidak dapat memperihalkan.Demikianlah hal yang bersangkutan dengan rahsia-rahsia ini. Maka kupasan di sinilah hanyalah sebagai sentuhan dalam tahap ilmu pengetahuan semata-mata yang dikutip dan dihimpun dari kata-kata ahli sufi yang kaya dengan pengalaman keruhaniannya. Tidak lebih dari itu dan sememangnya ia tidak akan dapat melangkah ke sempadan yang satu lagi itu tanpa Rahmat dan KurniaanNya. Jika ingin sesuatu itu terhurai dengan nyata, maka kita mesti keluar dari semua alam ini dan pembatasan(barzakh) yang ada, mematikan diri dan hidup dengan “Sir” atau rahsia diri kita. Kita akan bincangkan mengenai “Sir” ini dalam bicara berikutnya kerana sememangnya ia amat berkait rapat dengan perbincangan ini. Sebelum itu, marilah kita bicarakan mengenai “Haramil Qudsiyah”.
1. Penerangan Mengenai Haramil Qudsiyah.AlLah berfirman di dalam Hadis Qudsi:“Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana•alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;•alam Malakut, syaitan bagi orang Arif;•alam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah”.Ada beberapa istilah dan idea-idea yang berkaitan dengannya perlu dimengertikan terlebih dahulu kerana apabila kita mengetahui dan memahaminya, maka mudahlah untuk kita mentafsirkan atau menyelongkarkan rahsia-rahsia makna dan kiasan berhikmah yang terdapat dalam Kalimah berhikmah Firman Allah tersebut. Itupun hanya sebahagian kecil darinya sahaja sekadar yang direzekikan oleh Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui. Selebih dari itu adalah untuk hamba-hambaNya yang terpilih sahaja dan selebihnya lagi hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui maksud dan rahsia-rahsianya yang sebenar. “Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya”. (Al-Quran)Haramil Qudsiyah disebut juga oleh ulama Sufiah sebagai Hadrat Qudsiyah yang membawa makna “tempat yang berkehendak menyucikan semata-mata”. Inilah tempat bagi kesudahan seorang
salik yang digelar sebagai “Washil IlaLah” atau sampai kepada Allah. Untuk menjelaskan dengan lebih terperinci lagi hal-hal yang berkaitan dengan Haramil Qudsiyah atau Hadirat Qudsiyah adalah perkara yang amat sukar kerana ianya telah masuk dalam sempadan di luar kemampuan ilmu pengetahuan di mana tiada masuk ia di bawah ibarat dan tiada disampaikan oleh isyarat dan tiada memikirkan dia oleh cita hati. Ini adalah kerana tempat itu adalah tempat yang “suci semata-mata”. Suci dalam erti kata bersih dari segala bandingan, ibarat, kiasan dan barang yang boleh diungkapkan dengan kata-kata atau isyarat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan