Selamat Datang Ke Blog Lembah Tua

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن الرَّحِيْمِِ
Segala puji-pujian milik Allah subhanahu wa Ta'ala yang jua pentadbir sekelian alam.Allah subhanahu wa Ta'ala jualah yang memiliki panji kemuliaan dan ketinggian.Tiada yang seumpama-nya.Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala-galanya.Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw,penghulu semua Nabi,pembawa cahaya hidayah yang menerangi kegelapan jahiliyyah,kekufuran,kesesatan dan kemaksiatan,juga ke atas ahli keluarga dan para Sahabat Baginda radiyallahu 'anhum ajma'in serta yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari Kiamat.

Isnin, 5 April 2010

"Sheikh Abdul Malik" Tok Pulau Manis ( 01 )


Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adalah segala orang yang Arif itu daripada orang yang ahli Maqam ini atas dua bahagi. Setengah daripada mereka itu yang berjalan kepadaNya dan setengah daripada mereka itu yang sampai kepadaNya; dan yang kedua itu tiada memandang baginya wujud dan tiada amal seperti yang telah terdahulu sebutnya kerana bahawasanya Allah Taala.......
Keterangan Suluk
Sebagai mukkadimah untuk mendatangkan Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang seterusnya, Tok Pulau Manis memulakannya dengan memperihalkan sebahagian daripada hal-ahwal orang-orang Arif. Menurut beliau, orang-orang Arif ialah mereka yang berdiri/menetap di atas Maqam "memandang anugerah dan kurnia Allah dalam setiap nikmat." Dengan kata lain mereka ini adalah "Ahli Musyahadah" yang sentiasa memandang wujudnya Allah dalam tiap-tiap sesuatu.
Namun demikian, golongan Arif ini masih boleh dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu;
• Pertama; daripada mereka itu yang berjalan kepadaNya iaitu yang disebut sebagai Salik; dan
• Kedua; daripada mereka itu yang sampai kepadaNya yakni yang disebut juga sebagai orang-orang yang Wasil ilaLlah.
Adapun golongan Wasil adalah terdiri daripada mereka yang tiada memandang baginya wujud dan tiada amal yakni yang tenggelam dalam lautan Musyhadah dengan Allah Taala sehingga tidak dipandang amalnya dan wujud dirinya sendiri sebagaimana yang telah dibincangkan dalam pengajian-pengajian sebelum ini terutama yang berkaitan dengan Warid Makrifat Rabbaniyyah.
Ini adalah kerana dengan limpah kurniaNya, Allah Taala dengan RahmatNya dari awal-awal lagi telah menjauhkan hamba-hamba pilihanNya daripada penghalang atau perintang yang besar sebagaimana yang terdapat dalam maksud Kalam Hikmah yang berikutnya;
Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a

Telah memutuskan oleh Allah Taala akan segala orang yang berjalan baginya dan segala orang yang sampai kepadanya daripada melihat segala ahwal mereka
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Telah diputuskan Allah Subhanahuwa Taala akan segala orang yang berjalan baginya dan segala orang yang sampai kepadaNya daripada melihat segala amal mereka itu; dan dipandang segala hal mereka itu. Bahawasanya mereka itu dengan Dia; tiada dengan diri mereka itu melainkan bahawa segala maqam mereka itu berkurang-lebih atas sekadar hal mereka itu yang telah dikurniakan Haq Taala akan mereka itu.
Keterangan Suluk
Guru suluk lebih suka menggunakan istilah "menghaibkan" bagi menggantikan istilah "diputuskan" di atas. Dengan itu bolehlah kita maksudkan keterangan di atas ialah sebagaimana berikut.
Allah Taala telah menghaibkan atau menghapuskan pandangan
• orang-orang Salik (segala orang yang berjalan baginya)
• dan orang-orang Wasil (orang yang sampai kepadaNya)
daripada menilik-nilik dan melihat amal ibadat mereka serta hal-ahwal mereka. Mengikut kebiasaannya; orang yang banyak melakukan amal ibadat seperti, sembahyang, puasa, membaca Al-Qur'an, berwirid, berzikir dan sebagainya akan sentiasa menghitung dan mengira-ngira adakah amalan mereka semakin bertambah atau tidak? apakah sudah mencapai kesempurnaannya? berapa lama sudah dikerjakan amalan ini? dan sebagainya lagi..
Antara dalil orang yang menilik dan memandang amal ini ialah
• mereka akan merasa lega apabila selesai mengerjakannya;
• sebaliknya akan merasa susah hati dan bimbang jika ianya belum dikerjakan lagi.
• Jika telah dikerjakan dengan tidak sempurna, maka mereka tidak merasa puas hati dan kesal dengan apa yang dikerjakan itu.
• Begitu juga bila sesuatu waktu mereka tertinggal mengerjakan amal ibadat itu, mereka akan merasa jauh dengan Allah.
• Seolah-olah amal-ibadat itulah yang boleh menghasilkan sesuatu atau membawa mereka hampir dengan Allah.
• Hatinya akan sentiasa menyesali aib-aib dan kekurangannya.
Demikian juga dengan seorang hamba yang dikurniakan keistimewaan tertentu sehingga layak untuknya menduduki sesuatu "hal" seperti;
• ramai orang yang kasih dan bertumpu kepadanya;
• diberikan keberkatan dalam wirid-wiridnya hingga boleh dijadikan air tawarnya mujarab untuk pelbagai penyakit;
• terbuka sesuatu yang ghaib dan rahsia.
• dikurniakan berbagai keramat yang mencarik adat
• merasai manis dan lazat dalam ibadat dan munajat;
• dan berbagai-bagai "hal" yang lain lagi.
Hamba yang ada keistimewaan sebegini, biasanya akan tersangkut hati untuk melihat dan memandang kebolehan dan kelebihan yang manarik dan jarang-jarang dijumpai itu. Ada yang sampai jadi Tok Bomoh atau dukun yang tersohor dan ada yang jadi sibuk(glamour) dengan melayan tumpuan dan perhatian orang ramai kepadanya.
Inilah sebahagian daripada contoh-contoh hamba yang tidak diputuskan oleh Allah Taala untuk menilik dan memandang amal ibadat dan hal-ahwalnya. Perjalanan mereka akan terhalang dan tersekat dengan tilikan dan pandangan yang terseleweng(tersasar) itu. Itulah sahaja bahagian untuk mereka.
Berbeza dengan orang yang telah diputuskan oleh Allah Taala daripada melihat dan memandang amal ibadat dan hal-ahwalnya. Bahawasanya mereka itu dengan Dia(Allah) dengan maksud hamba yang memiliki Musyahadah itu akan sentiasa menilik dan memandang kepada Allah Taala sehingga ghaib atau hilang wujud diri mereka sentiasa. Yang dilihat dalam pandangannya ialah perbuatan Allah semata, atau nyatanya Sifat-sifat Kesempurnaan Allah atau Mulia dan Maha Sucinya Zat Allah Yang Maha Agung. Hilang atau ghaib diri mereka sendiri sehingga tidak dibeza-bezakan antara "Yang Dilihat" dan "Yang Melihat".
Sesungguhnya pandangan yang fana sebegini bukanlah dengan diri mereka itu yang bermaksud bukanlah dengan upaya dan kekuatan mereka; jauh sekali amal ibadatnya; bahkan diri mereka sendiri telah hilang dalam pandangannya.
• Ada yang fana dalam Afa'al(perbuatan) Allah,
• ada yang fana dalam Asma'(Nama) Allah
• ada yang fana dalam Sifat Allah;
• dan ada yang fana dengan Zat Allah.
Berbeza-beza jenis fana seperti di atas adalah merujuk kepada tidak sama hal orang yang fana(ghaib dalam musyahadah dengan Allah) sebagaimana yang diisyaratkan dalam keterangan Tok Pulaua Manis bahawa segala maqam mereka itu berkurang-lebih atas sekadar hal mereka itu yang telah dikurniakan Haq Taala akan mereka itu.
Penjelasan selanjutnya akan memperihalkan pula maksud berlebih-kurang dan tidak samanya kadar dan maqam yang dikurniakan oleh Allah Taala terhadap seseorang yang telah dighaibkan daripada memandang amal ibadat dan hal-ahwal mereka.
Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a yang selanjutnya;

Adapun orang yang sedang berjalan, kerana mereka belum tahqiq dan siddiq serta Allah dalamnya.

Terjemahan dan Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Adapun segala orang yang berjalan kepadaNya(Allah) itu, maka dari kerana bahawasanya mereka itu tiada tahqiq mereka itu akan siddiq mereka itu serta Allah dalamnya. Maka putuslah mereka itu kepadaNya dengan melihat taksir diri mereka itu. Maka adalah memutuskan mereka itu pada penglihatannya(taksir) daripada segala "halnya" dengan sebab berhadap mereka itu atasnya(hal)
Keterangan Suluk
Isyarat kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas dimaksudkan kepada orang-orang Salik yang berjalan hatinya menuju kehampiran dengan Allah Taala. Bila berjalan tentulah akan ada sesuatu yang dijumpai, yang menjadi penghalang, yang merintangi; menjadi cubaan untuk menguji keteguhan cita-cita dan maksud hatinya. Umpama seorang pengembara padang pasir yang terpaksa menempuh berbagai-bagai kesulitan dan pada satu ketika tertarik pandangannya pada satu kebun yang ditemuinya, begitu jualah si Salik dalam perjalanannya menuju Allah. Mereka mungkin sahaja akan berhadapan dengan berbagai-bagai cubaan yang akan cuba mengalihkan pandangan cita-cita dan maksud hati Salik.
Adapun hal orang-orang Salik pada permulaan perjalanannya tiada tahqiq mereka itu akan siddiq mereka itu serta Allah dalamnya . Tidak teguh dan mantap pandangan makrifatnya yang sebenar. Mudah beralih dan cenderung kepada sesuatu tarikan MasyiwalLah. Masih bercampur baur siddiq mereka antara yang batil dengan yang haq.
• Jika terjerumus dalam maksiat (zhohir atau batin) mereka akan menyesali dan menyalahkan dirinya yang berbuat; Ini adalah kerana tiada tahqiq mereka itu akan siddiq mereka itu serta Allah dalamnya
• Jika dibukakan sesuatu ghaib atau rahsia, maka akan ditilik amal dan wiridnya yang mendatangkan Warid; Ini adalah kerana tiada tahqiq mereka itu akan siddiq mereka itu serta Allah dalamnya
• Jika berhadap ramai manusia kepadanya, maka dipandang hasilnya dengan kerana kesempurnaan amalan yang ada padanya. Ini adalah kerana tiada tahqiq mereka itu akan siddiq mereka itu serta Allah dalamnya
Mereka sering saja mudah condong dan senderung kepada MasyiwalLah(sesuatu selain daripada Allah). tetapi mereka selalu cepat sedar. Mereka akan lihat betapa aib dan betapa cuainya mereka. Betapa bersalah dan berdosanya mereka dengan Allah. Bila begini jadinya, Maka putuslah mereka itu kepadaNya(Allah) dengan melihat taksir diri mereka itu. Dengan kerana ini, maka putuslah Musyahadahnya dengan Allah dengan sebab melihat kepada aib diri dan taksir.
Terputusnya Musyahadahnya dengan Allah adalah kerana berhadap hati mereka itu atas halnya. Bukan kerana dosa mereka, bukan kerana keramat, bukan kerana keberkatan amalan. Tetapi dengan sebab berhadap mereka itu atasnya(hal) yakni memandang dosa-dosa mereka atau menilik-nilik pada keistmewaan karamat atau dengan menoleh pandangannya kepada amal ibadat yang dikerjakan secara berterusan.
Inilah hal-ahwal Maqam orang Salik yang dalam permulaan perjalanannya. Tidak teguh dan tidak tetap(tahqiq) dengan sesuatu hal. Sesekali ingat, sesekali cuai, sesekali cenderung pada sesuatu, sesekali tetap dan mantap. Semua hal-ahwal ini adalah bertujuan untuk memperkayakan pengalamannya dalam mencari yang sebenar-benar hakikat. Pada satu pihak nampak seperti terlalu banyak salah dan dosa yang dilakukan, tetapi pada sudut yang lain pula; ianya seakan dipuji oleh Allah Taala. Kita boleh lihat bagaimana keterangan selanjutkan menjelaskan lagi keperihalan ini.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Sheikh Nahrujuuri r.a.;
Setengah daripada alamat orang yang dikurniai Allah akan dia segala halnya itu bahawa
• memandang ia akan taksir dalam ikhlasnya dan
• akan lupa dalam segala zikirnya dan
• akan kurang dalam siddiqnya dan
• akan segannya dalam mujahadah dan
• sedikit memeliharakan dalam fakirnya.
Maka adalah segala halnya kepadaNya tiada kerana lainnya dan bertambah-tambah ia akan fakir kepada Allah dalam fakirnya dalam perjalanannya hingga fanalah ia daripada tiap-tiap barang yang lain. ( Intaha: Sheikh Nahjuri r.a.)
Keterangan Suluk
Sebagai ingin memperkuatkan dan memperjelaskan lagi perihal sebab-sebab dan hikmah diputuskan pandangan Musyhadah seorang Salik kepada TuhanNya; diperturunkan kata seorang ulama Sufi Sheikh Nahrujuri r.a. Beliau menegaskan antara tanda-tanda Salik yang dikurniakan menduduki maqam-maqam "hal" dalam menuju kehampiran dengan Allah ialah bahawa
• memandang ia akan taksir dalam ikhlasnya (walaupun sentiasa mengikhlaskan amal-ibadat kepada Allah Taala tetapi masih merasa diri selalu cuai dan mencampuradukkan ikhlasnya dengan syirik-syirik yang khofi)
• dan akan lupa dalam segala zikirnya (yakni walaupun sering berzikir tetapi masih menganggap banyak lupanya pada Allah Taala)
• dan akan kurang dalam siddiqnya (iaitu walaupun telah benar dan ikhlas amal ibadat yang dikerjakan, namun masih merasa kurang sempurna dalam siddiqnya)
• dan akan segannya dalam mujahadah (yakni sungguhpun telah bersungguh mereka bermujahadah melawan nafsu syahwatnya, tapi selalu menganggap dirinya masih segan dan malas dalam bermujahadah)
• dan sedikit memeliharakan dalam fakirnya (walaupun sudah kuat rasa berhajatnya kepada Allah Taala, tetapi masih memandang terlalu sedikit kefakirannya itu dengan apa yang dikehendaki Allah sebenarnya)
Maka semuanya itu adalah hal-ahwal mereka yang ingin mencapai kehampiran dengan Allah Taala. Bukan kerana lain-lain lagi. Semata-mata kerana ingin sampai kepada Allah, sehinggakan mereka amat berhati-hati sekali. Dengan sentiasa merasai dan memandang taksir, lupa, kurang, segannya, sedikit, lemah, dhoif, banyak aib dan cela, maka bertambah-tambahlah rasa berhajatnya kepada Allah. Merasai diri benar-benar fakir hingga terasa lemah dan tidak berupaya untuk menjauhkan sesuatu dan tidak berkuasa untuk menghasilkan sesuatu melainkan dengan mengharapkan limpah kurnia dari Allah Taala Yang Maha Pemberi. Rasa kefakiran dan berhajatnya sangat-sangat kepada Allah sentiasa membayangi setiap langkah perjalanannya sehinggalah mereka fana/ghaib/hapus daripada memandang kepada sesuautu yang lain. Kebutuhannya pada Allah melenyapkan perhatian dan pandangannya kepada yang lain dengan semata-mata berhadap kepada Allah Yang Maha Meliputi di atas segala sesuatu.
Beruntunglah mereka yang dibimbing dan ditunjukki dengan liku-liku jalan yang penuh dengan pengalaman dan pengajaran yang penuh dengan hikmat dan keindahan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan